Nak Mahrez? bayar RM545 juta

LONDON: Pemain sayap Algeria, Riyad Mahrez mungkin bernilai lebih daripada £100 juta (RM544.6 juta) jika dia meninggalkan Leicester City pada akhir musim ini, kata pengurus Foxes, Claude Puel hari ini.

“Ia satu spekulasi dan kami tidak boleh membalas semua spekulasi itu dengan maklumat,” kata Puel pada sidang media.

“Mungkin pada musim panas ini, nilainya lebih daripada £100 juta.

 

“Riyad juga berdepan situasi sama. Ini semua khabar angin, spekulasi membabitkannya dan pemain lain,” kata Puel mengenai Mahrez, salah seorang bintang Leicester yang mencipta kejutan dengan menjulang Liga Perdana Inggeris pada musim 2015/16.

“Kita boleh lihat Riyad tersenyum dan menikmati bola sepak bersama rakan sepasukan, begitu juga ketika latihan.

“Selepas sesi latihan, dia terus bermain dan saya mahu dia mendapat lebih rehat.

“Semua khabar angin dan spekulasi mengenai Riyad ini, adakah wartawan mahu dia meninggalkan kelab?”

Mahrez bagaimanapun pernah diminta untuk meninggalkan kelab Midlands itu sewaktu pramusim namun hanya Roma yang membuat bidaan serius, bagaimanapun jumlah £32 juta (RM174.4 juta) belum cukup meyakinkan Leicester untuk menjualnya.

Perkembangan terbaru membayangkan kelab bersedia membuat pelaburan lebih untuk pemain apabila bintang Belanda Virgil van Dijk menyertai Liverpool dari satu lagi pasukan Liga Perdana Inggeris Southampton pada harga £75 juta (RM409.1 juta) awal bulan ini, rekod dunia untuk seorang pemain pertahanan.

mymetro