‘Tak mustahil Harimau Malaya juara’

‘Ia bukan mustahil, kami sudah melakukannya di Bangkok’.

Itu nada keyakinan disuarakan pemain tengah negara, Syamer Kutty Abba menjelang pertembungan getir perlawanan akhir kedua Piala AFF 2018 menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi esok.

Di atas kertas, segala tampak sukar buat anak buah Tan Cheng Hoe untuk merebut kejuaraan selepas seri 2-2 pada pertemuan pertama di Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Malaysia memerlukan kemenangan, manakala pasukan di ranking ke-100 dunia itu (Vietnam) hanya perlu seri 0-0 atau 1-1 untuk merangkul kejuaraan kedua selepas edisi 2008, menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Bagi Syamer, kesukaran yang ditempuhi pada kempen kali ini termasuk ketika seri 2-2 dengan Thailand di Bangkok untuk mara ke pentas akhir menerusi peraturan gol di tempat lawan membuatkan mereka sudah biasa ‘hidup susah’.

‘Sejak awal, kita tahu kita tak melalui jalan mudah. Alhamdulilah, kita bekerja keras sehingga ke tahap ini dan kita hanya sikit lagi untuk menjadi juara. Walaupun susah, tetapi tiada yang mustahil,’ kata pemain berusia 21 tahun itu.

Namun, kesusahan yang perlu tempuhi kali ini lebih perit, meskipun Harimau Malaya, juara 2010 pernah melakukan keajaiban apabila menang 4-2 di Hanoi, selepas tewas 1-2 di Shah Alam untuk mara ke perlawanan akhir edisi 2014.

Ini kerana rekod terbaru, anak buah Tan Cheng Hoe kalah kepada Vietnam yang dibimbing Park Hang-seo 0-2 pada aksi peringkat kumpulan tahun ini di Hanoi.

‘Kami akui keputusan sebelum ini (seri 2-2) tidak memberi kelebihan kepada kami, tetapi tak ada yang mustahil, kami berusaha keras, kami memiliki semangat juang dengan bangkit selepas ketinggalan.

‘Apa yang kami lakukan itu adalah sebab mental, kami ada keberanian untuk menang. Di sini, kami perlu memberi aksi terbaik lebih 100 peratus serta mencari jalan untuk memberi tekanan kepada mereka bagi mendapatkan keputusan baik,’ kata Syamer.

sumber:HM

 

Apa kata anda?