Saya akan ke Piala Dunia – Salah

KAHERAH 29 Mei – Bintang Liver­pool, Mohamed Salah, akan ke Sepanyol untuk menjalani rawatan kecederaan bahu yang menamatkan perjuangannya di final Liga Juara-Juara (UCL) dan mengancam peluangnya beraksi bersama Mesir di Piala Dunia, Rusia bulan depan.

Persekutuan Bola Sepak Mesir (EFA) berkata, Salah memilih Sepanyol untuk program pemulihan yang diharapkan mampu membantu pemain itu kembali tepat pada masanya untuk ke Rusia.

Menurut kenyataan EFA, Salah akan diiringi kakitangan perubatan Liverpool sepanjang tempoh rawatan itu yang sudah memulakan program pemulihan sejak Ahad.

Salah yang merekodkan 44 gol buat The Reds dalam semua kejohanan musim lalu, terpaksa meninggalkan final UCL de­ngan linangan air mata sambil memegang bahu kirinya selepas ditarik ke tanah oleh kapten Real Madrid, Sergio Ramos.

Kemungkinan besar kecederaan itu akan menyebabkan Salah tidak dapat beraksi pada Piala Dunia, 14 Jun hingga 15 Julai tetapi Salah meluahkan keyakinan akan kembali tepat pada masanya.

“Ia malam yang mencabar tetapi saya seorang pejuang. Di sebalik kesukaran ini, saya yakin akan berada di Rusia untuk membuat anda bangga,” kata Salah di laman Twitter, semalam.

Media Mesir melaporkan Salah tidak akan beraksi selama tiga minggu.

Sementara itu, Pegawai persekutuan Mesir dijangka melawat Salah yang dianggap EFA sebagai ‘simbol Mesir’, esok untuk menaikkan semangatnya.

Mesir yang diundi dalam Kumpulan A memulakan kempen Piala Dunia menentang Uruguay pada 15 Jun sebelum berdepan tuan rumah Rusia dan Arab Saudi.

Skuad Pharaohs akan menentang Colombia dalam perlawanan pemanas badan pertama di Bergamo, Itali pada 1 Jun. – AFP

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! Arena Star

Sumber: Sumber