Real mahu Klopp ganti Zidane

REAL Madrid menjadikan Pengurus Liverpool Jurgen Klopp sebagai calon pilihan utama untuk menggantikan Zinedine Zidane.

Liverpool masih lagi dibelenggu kekecewaan selepas tewas di tangan Real pada aksi final Liga Juara-Juara, awal pagi Ahad lalu dan kini sekali lagi akan menerima tamparan hebat daripada kelab gergasi Sepanyol itu.

Zidane mengejutkan peminat bola sepak seluruh dunia apabila mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengurus Real.

Pengendali kelahiran Perancis itu akhirnya menamatkan karier selama dua tahun setengahnya di Santiago Bernabeu dengan rekod cemerlang.

Zidane membantu pasukan itu menjulang trofi Liga Juara-Juara sebanyak tiga kali dan kini Real mengintai Klopp sebagai penggantinya, lapor The Sun.

Presiden Florentino Perez melihat Klopp sebagai calon terbaik untuk mengisi kerusi ditinggalkan Zidane kerana karakter dan skil pengurusannya yang mantap.

Real berharap Klopp akan mempertimbangkan tawaran tersebut meskipun dia sudah menyatakan komitmen jangka masa panjang bersama Liverpool pada musim panas lalu.

Mauricio Pochettino turut disebut-sebut sebagai pengganti Zidane tetapi Klopp mendahului senarai calon pilihan.

Liverpool pastinya akan melakukan apa sahaja untuk memastikan Klopp kekal di Anfield.

Klopp mengemudi Liverpool mara ke tiga aksi final kejohanan utama.

Meskipun tewas dalam ketiga-tiga kejohanan itu, dia berjaya membentuk pasukan itu menjadi sebuah pasukan yang digeruni sebaik tiba di Anfield.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! Arena Star

Sumber: Sumber