Neymar kembali dengan jaringan menakjubkan

LIVERPOOL: Neymar meraikan kepulangannya semula daripada kecederaan dengan meledak gol menakjubkan ketika Brazil menewaskan Croatia 2-0 bagi aksi pemanas badan menjelang Piala Dunia di Stadium Anfield, di sini, sebentar tadi.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu tersisih lebih daripada tiga bulan selepas patah kaki ketika beraksi dalam perlawanan Ligue 1 menentang Marseille pada 25 Februari lalu.

NEYMAR meraikan gol jaringannya bersama rakan sepasukan. – Foto REUTERS

Begitupun, penyerang berusia 26 tahun itu tampak sudah pulih sepenuhnya dan memberikan Brazil keceriaan apabila keluar daripada bangku simpanan untuk menggantikan Fernandinho pada babak kedua.

Penyerang sensasi itu tidak menunjukkan sebarang tanda dia sudah berkarat apabila meledak gol pada minit ke-68 untuk meletakkan Brazil di depan.

NEYMAR (kanan) diasak dua pemain Croatia, Sime Vrsaljko (kiri) dan Mateo Kovacic (tengah) pada aksi persahabatan di Stadium Anfield, sebentar tadi. – Foto AFP

Dia memerlukan hanya 23 minit untuk membuktikan kepentingannya kepada pasukan, bukan saja untuk Brazil menjulang Piala Dunia keenam tetapi jutaan peminat negara itu yang berharap pemain termahal dunia itu mampu memainkan peranan utama.

Selepas menerima hantaran Philippe Coutinho, Neymar meloloskan diri ke kawasan bahaya Croatia sebelum menewaskan Sime Vrsaljko dan Duje Caleta-Car menerusi kawalan bola dan gelecekan menarik sebelum melepaskan rembatan dari jarak kurang dua meter untuk memecah kebuntuan.

Sejurus menjaringkan gol, Neymar berlari ke belakang pintu gol di depan tempat duduk legenda di  Anfield- Kop end, dan menumbuk ke langit sebelum dikerumuni rakan sepasukannya. 

Gol kedua Brazil dijaringkan pemain Liverpool, Roberto Firmino  pada masa kecederaan.

– AFP

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! Arena Star

Sumber: Sumber