Kafa Mahu Kelantan Layak Ke Suku Akhir Piala FA

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mahu pemain Kelantan memberikan tumpuan sepenuhnya pada perlawanan pusingan ketiga Piala FA Sabtu ini walaupun terlibat dengan denda yang dikenakan oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) berikutan kegagalan melengkapkan pendaftaran musim ini.

Presidennya Bibi Ramjani Ilias Khan berkata pemain perlu meningkatkan lagi mutu perlawanan bagi meraih kemenangan bertemu PKNS FC di Stadium Shah Alam, Selangor, untuk melangkah ke peringkat suku akhir aksi piala itu.

“Kita mahu pemain membuktikan mereka mampu untuk berjaya walaupun isu ini (denda) diakui telah memberikan sedikit kesan kepada pemain ketika mereka dalam proses mencari rentak permainan dan kemenangan,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Kelantan antara empat pasukan Liga Super yang didenda RM1.5 juta atas kesalahan tersebut selain Kuala Lumpur, Selangor dan PKNS FC manakala enam pasukan Liga Perdana iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM, Mifa dan UKM FC pula masing-masing perlu membayar denda sebanyak RM500,000 atas kesalahan sama.

Bibi Ramjani berkata beliau juga berharap pemain bangkit selepas menerima kekalahan 1-0 kepada PKNS FC pada aksi Liga Super di gelanggang yang sama Sabtu lepas.

“Kesemua pemain perlu memperbaiki kelemahan dan bekerjasama untuk memperoleh kemenangan  bagi melayakkan pasukan ke peringkat seterusnya,” katanya.

Beliau berkata bagi mengurangkan bebanan kewangan persatuan itu, pihaknya telah berbincang bersama beberapa pemain untuk mencari mana-mana pasukan yang memerlukan khidmat mereka pada jendela perpindahan Mei ini.

“Kita perlu bersedia dari sekarang berkaitan perancangan kewangan berikutan kita kekurangan dana, keputusan itu dilakukan kerana kita tidak mahu pemain terjerat dengan kesusahan yang dialami supaya tidak timbul masalah tunggakan gaji,” katanya.

Beliau berkata pihak pengurusan kini sedang bekerja keras untuk mengatasi isu-isu berbangkit manakala pemain diharapkan terus memberikan sumbangan untuk pasukan meraih kemenangan dalam setiap perlawanan.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! Arena Star

Sumber: Sumber

Apa kata anda?