‘Harimau Malaya ambil aura kejayaan JDT…’

KUALA LUMPUR: Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuji semangat melawan tinggi dipamerkan oleh skuad Harimau Malaya yang terpaksa bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Vietnam 2-2 pada aksi final pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Jelas bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu, mentaliti kemenangan yang ada pada skuad kendalian Tan Cheng Hoe adalah faktor utama kepada kebangkitan pasukan negara.

Katanya, perkara sama turut diterapkan oleh kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) yang meletakkan asas mentaliti kemenangan sebagai elemen terpenting buat kelab itu.

“Di JDT, semuanya adalah mengenai ‘Winning Mentality’. Saya ‘push’ para pemain saya ‘to the limit’. Lama-kelamaan ia menjadi satu ketagihan. Semuanya adalah berkaitan mentaliti kemenangan.

“Mereka bukan sahaja melakukannya untuk kelab, mereka turut membawa mentaliti tersebut apabila bermain untuk negara. Saya bangga dengan kamu semua serta seluruh pasukan. Syabas.,” katanya di laman Facebook Johor Southern Tigers (JST).

Skuad negara yang perlu mencari bekalan selepas sebelum bertandang ke Hanoi bagi aksi timbal balik pada Sabtu ini dikejutkan dengan dua gol pantas pelawat menerusi Nguyen Huy Hung pada minit ke-22 dan Pham Duc Huy (m-25).

Ketinggalan 2-0 langsung tidak mematahkan semangat pemain negara apabila bangkit menerusi tandukan Shahrol Saad (m-36) sebelum penyerang JDT Safawi Rasid meledak gol penyamaan menerusi sepakan percuma pada babak kedua.

Ketangkasan penjaga gol JDT, Farizal Marlias juga banyak menyelamatkan gawang negara daripada dibolosi apabila dia kerap diuji dengan percubaan berbahaya skuad Naga Emas.

Kini penentuan juara bakal ditentukan di Hanoi dengan Malaysia wajib mencipta kemenangan sekurang-kurangnya 1-0 untuk mengulangi pencapaian 2010 apabila menjulangnya buat pertama kali.

Sumber:HM

Apa kata anda?