Fikri akui gemuruh aksi sulung bersama TRW

KOTA BHARU: Penjaga gol muda Kelantan, Fikri Che Soh mengakui sedikit gemuruh dalam penampilan pertamanya ketika beraksi menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu lalu.

Namun perasaan itu tidak sesekali menghalangnya untuk melakukan yang terbaik malah dia mengakui perlawanan itu menaikkan semangatnya untuk terus mencipta nama bersama pasukan selepas ini.

Dalam perlawanan yang berakhir tanpa jaringan, Fikri berjaya menyelamatkan pintu gol Kelantan daripada dibocori percubaan bahaya penyerang skuad Hobin Jang Hobin.

Pemain berusia 20 tahun itu berkata, walaupun sedikit gemuruh dia tetap menyifatkan peluang beraksi itu adalah pengalaman berguna dan permulaannya untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi.

“Perasaan saya ketika beraksi Sabtu lalu memang rasa gementar dan sedikit gugup kerana ia kali pertama saya diberi peluang bermain bersama skuad The Red Warriors.

“Pada awalnya memang terkejut apabila mendapat tahu saya diberi peluang bermain malam itu dan cuba beraksi sebaik mungkin untuk pasukan.

“Ia juga memberikan pengalaman berguna untuk karier saya walaupun saya akui masih jauh dan banyak kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Biarpun teruja dengan peluang yang diberikan jurulatih pada perlawanan itu, pemain muda kelahiran Kampung Kuala Besar di sini berkata, dia tetap menghormati penjaga gol berpengalaman pasukan seperti Khairul Fahmi Che Mat, Shahrizan Ismail dan Ramadhan Hamid.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! Arena Star

Sumber: Sumber