Beri Piya peluang kedua – Anuar

KUALA LUMPUR: Bekas pemain Anuar Rajib meminta Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) memberi peluang kedua kepada bekas kapten, Badhri Radzi untuk kembali beraksi bersama pasukan itu ekoran peletakan jawatan jurulatih Fajer Ebrahim.

Timbalan Presiden Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Kelantan (PBPBK) itu berpendapat Badhri atau Piya masih mampu memberi sumbangan terutama untuk membimbing skuad muda The Red Warriors bagi merencanakan kebangkitan pasukan itu di bawah bimbingan pemangku jurulatih, Yusri Che Lah.

Menurut Anuar, walaupun KAFA dan Piya sebelum ini sudah berpatah arang, berkerat rotan, namun beliau meminta kedua-dua pihak mengetepikan ego masing-masing demi menyelamatkan bola sepak negeri itu.

“Punca utama perbalahan antara Piya dengan KAFA sebelum ini adalah Fajer, apabila jurulatih itu sudah angkat kaki, saya rasa tiada masalah untuk Piya kembali ke dalam pasukan Kelantan.

“Berilah Piya peluang kedua untuk membuktikan kemampuannya. Apatah lagi dia masih mempunyai kontrak hingga hujung musim ini, jadi apa salahnya KAFA memanfaatkannya.

“Walaupun dari segi kecergasan, Piya mungkin gagal menyaingi pemain muda namun saya yakin pengalamannya amat berguna untuk membimbing pasukan itu. Kalau tidak mahu turunkan dalam kesebelasan utama, dia boleh digunakan dalam situasi tertentu.

“Dalam soal ini, baik KAFA terutama presidennya (Bibi Ramjani Ilias Khan) mahupun Piya perlu bersikap profesional serta mengetepikan ego masing-masing. Masih ada ruang untuk duduk berbincang demi kebaikan bola sepak Kelantan.

“Saya juga berharap Piya menggunakan sebaik mungkin peluang jika dia disenaraikan semula untuk membuktikan kemampuannya,” katanya.

Badhri antara pemain yang menjadi mangsa revolusi Fajer apabila jurulatih dari Syria itu diberi kepercayaan penuh oleh KAFA untuk mencorakkan pasukan.

Ketika beberapa pemain yang turut disisihkan seperti Khairul Fahmi Che Mat, S Veenod, Do Dong Hyun dan Ramadhan Hamid menerima talian hayat meneruskan karier bersama pasukan lain, Badhri tidak menerima sebarang tawaran selepas pintu perpindahan kedua ditutup Ahad lalu.

sumber:BH