‘Ada pemain bola sepak sampai bersara disebabkan gaji…’

ADA pemain sampai bersara dari bola sepak sebab merasakan bola sepak telah mengkhianati hidup mereka.”

Itu pendedahan eksklusif yang diceritakan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain-pemain Bola Sepak Malaysia (PFAM), Izham Ismail berikutan isu gaji yang membelenggu segelintir pemain bola sepak negara ini.

Izham berkata, kebanyakan kes yang datang kepada pihaknya sungguh menyayat hati kerana ia melibatkan mata pencarian mereka selama ini.

“Tidak ada kes yang mudah untuk PFAM kerana semuanya melibatkan emosi dan kehidupan pemain.

“Ada pemain yang mengadu gaji mereka tertunggak hingga tiga bulan sedangkan mereka ada tanggungan seperti rumah, kereta dan anak-anak yang perlu disuap di rumah.

“Ini satu daripada beribu kes yang kami terima yang mana kami sendiri amat tersentuh bila mendengar cerita pemain-pemain ini,” katanya ketika sesi FB Live Sukan Sinar dan Sinar Harian sebentar tadi.

Soalan ini ditanya berikutan kes gaji yang tertunggak di kalangan pemain Liga Malaysia yang belum menemui titik noktah sehingga ke hari ini.  

Terbaharu, Malaysia digemparkan dengan kes membabitkan Kuantan FA dan beberapa pasukan dari liga FAM yang masih tidak membayar gaji pemain mereka.

Sementara itu, Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya berkata, semua pemain yang mempunyai masalah tidak perlu ragu-ragu untuk membuat aduan berkaitan masalah membabitkan gaji.

Jelasnya, pihaknya tidak akan bersikap pilih kasih dalam menyelesaikan mana-mana kes melibatkan pemain memandangkan PFAM tidak terikat kepada badan atau persatuan tertentu.

“Kami tidak terikat dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau mana-mana badan lain. Kami satu badan yang bebas.

“Jadi jangan kata ada kes yang kami tak mahu terima disebabkan terikat dengan badan-badan lain. Kami bertindak berdasarkan aduan daripada individu dan kami akan perjuangkan nasib individu-individu ini.

“Jadi, nasihat saya kepada mana-mana pemain, kalau ada sebarang masalah, datanglah kepada kami dan kami akan perjuangkan kebajikan ini mengikut saluran yang telah disediakan,” katanya.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! Arena Star

Sumber: Sumber

Apa kata anda?