Penduduk Nampak Ketam Sebesar Tayar, Lagun Kuala Semerak Ragut Nyawa

Cantik sekali pemandangan di lagun Kuala Semerak, Pasir Puteh, Kelantan ini tapi awas… ia mungkin mahukan nyawa.

LAGUN Kuala Semerak di Pasir Puteh, Kelantan memang terkenal dengan keindahan alam semula jadinya namun masih ramai yang belum mengetahui wujud kisah misteri menakutkan di situ.

Berulang kali berlaku peristiwa ngeri yang mengakibatkan kehilangan nyawa akibat lemas namun pengunjung seakan-akan ‘diseru’ untuk turun bermain air di situ apatah lagi terdapat satu tarikan iaitu ada banyaknya siput sungai seperti kepah, tijah, lala serta ketam. 

Usikan penduduk yang mengatakan wujud makhluk lain di kawasan berkenaan termasuk terserempak dengan penanggal, gergasi serta hantu air tidak diendahkan pengunjung, sehinggalah mereka sendiri menerima musibahnya.

Seorang penduduk tempatan Mohd Nor Abdullah, 48, mengakui memang ada kawasan yang dianggap ‘keras’ di lagun itu kerana pernah berlaku kejadian lemas membabitkan pengunjung dari luar daerah berkenaan.

Jelasnya sejak tahun 1990 an kawasan itu kerap dipenuhi orang ramai termasuk yang datang secara berkeluarga untuk berkelah sambil mandi-manda tanpa mengetahui bahaya yang menanti sekiranya mereka leka.

Md Nor menunjukkan kawasan lagun Kuala Semerak yang sudah banyak mengorbankan nyawa pengunjung.

“Kita tidak boleh menafikan wujudnya makhluk lain di dunia ini dan jangan mudah terpedaya dengan ‘mainan’ mereka sehingga kita lalai. Sebenarnya sepanjang mencari rezeki dengan memunggut kepah dan menjala udang saya sendiri beberapa kali pernah diusik terutamanya apabila berada di lagun menjelang senja.

“Saya pernah menemui satu lembaga besar yang menggoncang pokok ru sebelum ‘makhluk’ itu dilihat terjun ke dasar sungai dan mengeluarkan buih yang sangat banyak.

“Ketika itu saya menahan rasa takut dan terus menebar jala dengan niat mahu mengetahui apakah benda itu tetapi hampa. Saya percaya itu semua usikan makhluk lain yang cuba menakut-nakutkan kita sahaja, ” katanya yang berasal dari Kampung Aman dekat Tok Bali, Pasir Puteh.

Katanya, dia pernah diusik apabila mendengar suara orang bertanya; “Dapat banyak ikan ke? Menjala sorang-sorang tak takut ke?” Selepas dicari daripada mana suara yang menegur itu, tiada sesiapa pun kelihatan. Suara yang menegur itu biasanya kedengaran dari jauh dan semakin lama semakin dekat.

Mohd Nor yang lebih dikenali dengan panggilan Abe Nor turut berkongsi kisah rakannya yang berketurunan Cina dikenali sebagai Lee, 50, pernah diusik makhluk berupa wanita yang hanya berkepala serta berambut panjang sedepa.

Katanya rakannya itu gemar menyuluh udang dan mencari ketam secara berseorangan pada waktu malam namun selepas kejadian menakutkan itu dia tidak lagi pergi berseorangan dan sentiasa berteman.

Masih ada pihak yang tidak endah akan bahaya lagun ini apabila ia tetap dikunjungi ramai.

“Apa yang saya diceritakan, rakan saya memberitahu ketika sedang mencari ketam dia ternampak sesuatu bergerak di atas air. Apabila disuluh dengan lampu alangkah terkejutnya dia apabila terpandang satu kepala wanita dengan rambut panjang bergerak di atas air.

“Selepas kejadian itu dia terus berlari pulang sehingga demam beberapa hari. Sehingga hari ini dia masih trauma dan tidak berani datang berseorangan dan mesti berteman,” katanya.

Seorang peniaga kepah di tepi Jalan Tok Bali-Semerak, Ab Rahim Ishak, 40, turut berkongsi cerita yang sama dan mengakui kawasan itu sebenarnya menyimpan pelbagai kejadian misteri.

Menurutnya, walaupun sudah meragut banyak nyawa pengunjung akibat lemas, namun ia masih tetap menjadi lubuk rezeki kepada penduduk dan pengunjung yang mencari kepah.

Dengan banyaknya jumlah kepah di sini, ia mungkin menjadi penyebab kepada pengunjung untuk tidak pernah berasa takut malah ada yang selamba berkhemah di kawasan tertentu sambil mandi selainn mencari kepah.

“Kebanyakan kes lemas dikatakan mereka pergi ke kawasan air yang sebenarnya tidaklah dalam tetapi selut di dasar lagun seperti ‘berpaut’ pada kaki menyebabkan mangsa panik dan lemas kerana tidak dapat menyelamatkan diri.

“Apa sebenarnya berlaku tidaklah kita ketahui namun adakalanya mangsa lemas ini hanya ditemui selepas beberapa jam hilang di dalam air.

Kawasan paya bakau ini dipercayai terdapat banyak ketam tetapi ia kawasan ‘keras’ terutamanya bagi pengunjung luar.

“Biasanya kawasan di mana mangsa mati ditanda dengan pacakan ranting kayu. Pengunjung luar biasanya akan bertanya kepada penduduk tempatan kenapa dipacakkan kayu di dalam air dan apabila diberitahu mengenainya mereka terus berasa gerun. Bagaimanapun, rasa takut itu dilihat hanya sementara dan kemudian mereka akan terus bermain air dan mencari kepah seperti biasa,” katanya.

Jelasnya, lagun berkenaan kelihatan cantik, namun muka buminya dikatakan berbahaya kerana adanya beberapa kawasan pasir jerlus yang sentiasa menanti untuk ‘mengambil’ nyawa mangsa.

Seorang pencari ketam yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Man, 52, berkata kerja mencari kepah di kawasan itu sudah menjadi sumber utamanya bagi menyara keluarga walaupun dia menyedari kawasan perkelahan berkenaan berbahaya.

“Saya tahu lagun ini sudah banyak `makan’ nyawa dan ada yang mengatakan jumlah yang mati lemas di kawasan ini sudah melebihi 30 orang sejak tahun 90 an dan ditanda dengan larangan kepada orang ramai supaya jangan mandi manda.

“Kebanyakan yang lemas di lagun ini adalah orang luar kerana mereka tidak tahu kedalaman lagun yang dikatakan terbentuk kawah serta pasir jerlus akibat kerja mengorek pasir,” katanya.

Biasanya penduduk tempatan mencari kepah atau siput di lagun Kuala Semarak untuk dijual di gerai yang dibuka di tepi jalan ke Tok Bali-Semerak, pasir Puteh.

Pak Man berkata, antara pengalaman pelik dan menakutkan yang dikatakan dialami seorang pencari ketam dua tahun lalu apabila lelaki itu terjumpa seekor ketam sebesar tayar kereta. 

“Apa yang saya dengar lelaki itu terjumpa dengan seekor ketam bersaiz gergasi dan terus mengekorinya selama beberapa minit sehingga ketam dilihat masuk ke dalam air. Lelaki terbabit yang mengekori ketam itu tidak menyedari dia sudah berada di kawasan berselut tebal dan hanya tersedar apabila berasa kakinya melekat dan sukar bergerak.

“Mujurlah jeritan meminta tolongnya didengari orang lain yang datang menyelamatkannya. Jika tiada sesiapa menolong kemungkinan dia lemas apabila air laut pasang di Kuala Semerak,” katanya.

Pak Man berkata walaupun pelbagai kejadian menakutkan serta kes lemas berlaku namun orang ramai tetap datang mengunjunginya walaupun ia menyimpan seribu satu rahsia misteri yang sukar untuk dijelaskan.

 

Sumber: Sumber