Yang Ada Masalah Kuku Rapuh Atau Kuku Tak Cantik Bolehlah Makan Taugeh

Tauge adalah sayuran yang paling banyak dimakan oleh masyarakat Malaysia. Sayur tauge pada asalnya adalah sebiji kacang hijau atau kacang soya. Setelah melalui proses percambahan, barulah terhasil tunas kekacang yang dikenali sebagai  tauge.

Biasanya tauge akan digoreng bersama kue tiaw atau mee. Namun tauge juga sering digoreng bersama dengan bahan-bahan lain dan dijadikan sebagai hidangan berkhasiat.

Terdapat pelbagai kebaikan tauge untuk kesihatan tubuh. Pertimbangkan untuk menambah tauge dalam pemakanan seharian anda.

Rendah kalori

Dikatakan dengan memakan tauge anda mampu mengawal berat badan kerana tauge rendah kalori. Secawan tauge daripada benih kacang hijau memiliki kira-kira 31 kalori. Manakala secawan tauge daripada benih kacang soya memiliki kira-kira 70 hingga 80 kalori. Anda boleh menambah tauge dalam makanan anda tanpa perlu risau dengan kalorinya.

Sumber terbaik protein

Kebanyakan jenis tauge atau tunas kekacang merupakan sumber terbaik protein. Dikatakan memakan tauge lebih baik daripada memakan produk haiwan kerana ia mampu merendahkan tahap kolesterol dalam darah. Tauge bebas kolesterol dan rendah lemak tepu.

Merendahkan tekanan darah

Tauge juga mampu merendahkan tekanan darah kerana ia hampir bebas garam. Kandungan garam anda hanya akan bertambah jika anda memasak tauge dalam kicap.

Serat tinggi elak sembelit

Berikutan dengan kandungan serat yang tinggi dalam tauge juga, dikatakan dengan memakannya mampu memperbaiki motiliti usus dan melegakan tanda-tanda sembelit.

Baik untuk kesihatan hati

Tauge daripada kacang hijau dikatakan sumber baik lecithin dan baik untuk kesihatan hati. Lecithin mampu merendahkan tahap kolesterol dalam darah, membantu merendahkan lemak dalam hati sekaligus mencegah hati berlemak, iaitu masalah pada hati yang boleh membawa kepada kegagalan hati.

Mencegah anemia

Tauge yang kaya dengan zat besi mampu memainkan peranan penting dalam sintesis haemoglobin, iaitu protein yang dijumpai dalam sel-sel darah merah.  Ia juga turut tinggi vitamin C, yang mampu meningkatkan penyerapan zat besi daripada usus, sekaligus membantu mencegah atau merawat anemia yang disebabkan oleh kekurangan zat besi.

Mencegah kuku rapuh

Memakan tauge juga dikatakan mampu memberi kebaikan kepada kuku dan rambut anda. Rambut dan kuku yang rapuh biasanya adalah kesan daripada kekurangan zat tertentu terutamanya protein-protein, vitamin-vitamin, dan zink. Tauge kaya dengan jumlah semua zat-zat ini. Ini juga bermakna tauge mampu membantu dalam mencegah masalah rambut dan kuku yang rapuh.

Melegakan gejala-gejala berkaitan dengan menopaus

Tauge juga kaya dengan fitoestrogen. Ia mampu membantu melegakan gejala-gejala berkaitan dengan menopaus akibat pengurangan tahap estrogen. Fitoestrogen dalam tauge juga dikatakan efektif dalam mengurangkan osteoporosis berkait dengan menopaus.

Mencegah Perubahan kulit berkaitan usia

Dikatakan juga fitoestrogen dalam tauge mampu bertindak sebagai penerima estrogen yang ditemui dalam kulit, merangsang sintesis asid hyaluronic, kolagen dan elastin, yang merupakan komponen penting dalam struktur kulit. Pengambilan tauge dengan kerap dikatakan mampu mencegah perubahan kulit berkaitan usia, termasuklah keanjalan dan kehilangan kelembapan. Selain itu, tauge juga dikatakan mampu membantu dalam melawan tanda-tanda dan gejala-gejala tekanan mental, fizikal dan keletihan.

Mencegah katarak

Kajian menunjukkan pengambilan makanan tinggi vitamin B mampu membantu merendahkan peluang mendapat katarak. Tauge adalah sumber terbaik vitamin seperti thiamin, riboflavin dan niasin. Pengambilan vitamin B6 dan vitamin C merendahkan peluang mengalami kemerosotan macula yang dikaitkan dengan usia. Tauge cukup dengan kandungan vitamin-vitamin ini.

Ingatan Penting

Pastikan anda memasak tauge sebelum memakannya. Ini kerana tauge yang ditanam dalam cuaca panas dan lembap mempunyai risiko tinggi pencemaran bakteria yang akan menyebabkan keracunan makanan.

Sumber: Mingguanwanita

Apa kata anda?