Ubat Gigi Perlu Atau Tidak Semasa Memberus Gigi Bayi?

Sebut sahaja bab gosok gigi anak, kebanyakan ibu bapa mula persoalkan berapa banyak perlu diletakkan ubat gigi? Boleh atau tak anak telan ubat gigi? Sejak usia bila anak boleh guna ubat gigi dan macam-macam lagi.

Penjelasan dari Dr Iqbal Rosali mengenai tip menggunakan ubat gigi pada anak-anak boleh memberi gambaran jelas dan sebagai rujukan ibu bapa.

1.UBAT GIGI: PERLU ATAU TIDAK?

Bagi bayi yang belum ada gigi, boleh bersihkan mulut dan gusi bayi menggunakan kain basah bersih.

Bagi bayi yang baru tumbuh gigi, boleh gunakan kain basah bersih juga untuk bersihkan giginya. Boleh juga gunakan ‘finger toothbrush’.

Perkenalkan ubat gigi bila ibu bapa yakin, dan anak tahu yang dipicit keluar itu ialah ubat gigi.

Sebaik-baiknya, lagi awal lagi bagus untuk perkenalkan ubat gigi pada si anak.

2. UBAT GIGI: BANYAK ATAU SIKIT?

Untuk kanak-kanak bawah 3 tahun, gunakan ubat gigi sebesar sebiji beras.

Untuk 3-6 tahun, sebesar kacang pea.

Cukup. Tak payah lebih-lebih. Tak payah sampai berbuih.

3. UBAT GIGI: ADA FLOURIDA ATAU TIDAK?

Flourida adalah penting untuk menguatkan gigi dan mencegah kerosakan. American Association of Dentistry (ADA) mencadangkan untuk menggunakan ubat gigi berflourida seawal yang mungkin untuk pendedahan lebih awal dan perlindungan menyeluruh.

Di pasaran, ada ubat gigi kanak-kanak yang sudah ada flourida. Ibu bapa tak perlu risau kerana kandungannya adalah jauh lebih rendah daripada orang dewasa punya.

4. UBAT GIGI: BOLEH TELAN ATAU TIDAK?

Walaupun ada ubat gigi kanak-kanak dilabel selamat untuk ditelan, tolonglah pastikan dan pantau anak tak telan juga. Makanan pun kita berkira apa yang masuk ke dalam mulut, takkan ubat gigi kita relakan.

Ramai ibu bapa risau untuk gunakan ubat gigi berflourida kerana anak suka telan ubat gigi. Sebab itu perkara paling penting adalah pemantauan daripada ibu bapa sendiri.

Ibu bapa WAJIB gosokkan gigi anak sehingga dia umur 6 tahun. Mesti bantu anak menggosok gigi atau gosok gigi bersama-sama anak untuk elakkan mereka tertelan ubat gigi.

5. UBAT GIGI: PERLU LUDAH ATAU TIDAK?

Secara amnya, kita akan nasihatkan untuk gunakan ubat gigi berflourida apabila anak sudah pandai meludah.
Ibu bapa mesti ajar anak-anak untuk meludah ubat gigi dan elakkan daripada mereka menelannya.

Banyak cara nak ajar anak meludah ubat gigi. Ibu bapa jadilah contoh kerana ibu bapa adalah role model untuk anak masing-masing. Buat bunyi ‘puh’ ‘puh’.

Satu lagi, gunakan kuantiti yang betul. Bila tidak ada ubat gigi berlebihan, tidak perlu risau dengan tertelan atau perlu meludah dengan banyak.

Sumber:  Dr Muhamad Iqbalvia majalahPa&ma

Apa kata anda?