Enam hari tak boleh dibeli…

PELAKON Datuk Farid Kamil mengakui kontroversi menghambat dirinya membabitkan tahanan reman dan tuduhan penyalahagunaan dadah sebagai satu pengalaman tidak boleh dilupakan.

Farid berkata demikian ketika menjadi artis jemputan program MeleTop yang bersiaran secara langsung di Astro Ria, malam ini.

“Syukur pengalaman selama enam hari (direman) adalah memori tak boleh dibeli. Saya mengenali diri saya dari kecil sehingga besar.

“Sokongan keluarga, teman, rakan artis dan peminat menjadi kekuatan saya untuk mengharungi kontroversi yang menghambat,” katanya.

Farid yang juga pengarah ditemui Harian Metro berkata, kehidupannya berjalan seperti biasa dan berada dalam keadaan baik-baik sahaja.

“Alhamdulillah, kes masih dalam siasatan polis. Semuanya baik-baik saja,” katanya.

Farid yang juga pelakon drama Lafazkan Kalimah Cintamu berkata, dia berterima kasih kerana dirinya masih diterima baik peminat.

Malah, dia bersyukur apabila semakin mendapat kekuatan dan sokongan untuk meneruskan perjalanan seninya semula.

“Seperti anda lihat, saya masih dapat berjalan hari ini dengan program ini. Ia membuatkan saya rasa bersyukur,” katanya ringkas.

Terdahulu Farid didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 16 Januari lalu atas empat pertuduhan iaitu menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu penjawat awam di Balai Kota Damansara pada 11 Januari.

Bagaimanapun, suami kepada pelakon Datin Diana Danielle itu dibebaskan dengan jaminan RM12,000 oleh Mahkamah Majistret pada hari sama.

Sementara itu, Farid juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan penggunaan dadah jenis THC, bulan lalu.

Mahkamah juga membenarkan Farid diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga memerintahkan pasport Farid diserahkan kepada mahkamah.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! Arena Star

Sumber: Sumber