Ambil hak orang adalah salah – Rita Rudaini

SETELAH lama bersabar dan berdiam diri, pelakon Rita Rudaini akhirnya bersuara dan meluahkan kekesalan sahabat baiknya, Izreen Azminda, yang dikatakan lari daripada masalah sehingga memberi tempias dirinya.

Izreen yang berdepan kontroversi hebat selepas berkahwin dengan suami orang, bertindak  menutup ruangan komen dan seterusnya menutup akaun Instagramnya apabila dikecam teruk netizen.

Situasi itu membuatkan netizen beralih arah kepada Rita dan melepaskan segala kemarahan mereka terhadap pelakon ini.

“Saya kesal dengan apa yang berlaku ini. Kenapa saya yang kena, padahal dia pun ada kawan-kawan yang  lain juga.

“Adakah sebab saya janda, maka saya kena terima kecaman ini? Ia sangat tidak adil. Keluarga saya malu dan anak-anak juga kena tempias,”  kata Rita menerusi program Melodi beberapa hari lalu.

Rita merasakan dia tidak sepatutnya dijadikan sasaran, sedangkan apa yang berlaku itu langsung tiada kaitan dengan dirinya.

“Memang geramlah. Lainlah kalau saya yang kahwin dengan suami orang. Kena kecam pun saya puas hati.

“Tapi masalahnya tidak ada kena mengena dengan saya,” tegasnya.

Biarpun pada mulanya dia cuba bersabar, namun semakin lama ia menjadi bertambah teruk sehingga memberi kesan kepada kehidupannya, sedangkan Izreen mendiamkan diri.

“Selepas cerita ini diketahui ramai, saya ada menghubungi Izreen dan bercakap tentang  perkara ini, namun dia kata biarlah.

“Dia hanya kata biarlah, sedangkan  saya yang menjadi mangsa kecaman netizen apabila dia menutup ruangan komen di Instagram.

“Saya cuba bersabar, tetapi keadaan menjadi bertambah buruk membuatkan saya terpaksa bercakap mengenainya,” luah Rita.

Menurut Rita, Izreen tidak sepatutnya melarikan diri dan membiarkan perkara ini memberi kesan kepada kehidupan orang disebabkan masalah dirinya.

“Sebelum ini kalau saya kena kecam saya tak pernah tutup komen, biarlah. Saya tak pernah libatkan rakan-rakan keliling.

“Saya buat kenyataan ini bukan kerana nak hentam Izreen, tetapi nak beritahu tentang diri saya. Kenapa dia buat macam ni? Kenapa lari? Kenapa tutup Instagram?

“Memang saya kecil hati dan terasa dengan tindakannya ini. Sebagai kawan, dia tidak sepatutnya buat saya macam ini,” katanya kesal.

Bagaimanapun  kata Rita, baru-baru ni Izreen ada menghubunginya dan berbincang tentrang perkara tersebut.

“Saya kalau berkawan dengan seseorang, kalau ada benda tidak elok saya akan tegur dan beritahu terus terang tetapi terpulang jika hendak terima atau pun tidak kerana bukan jenis kawan yang tengok sahaja apa kawan buat.

“Sebelum benda ini jadi saya dah cakap risikonya apa, ambil hak orang adalah salah. Bagi saya poligami itu tak salah tetapi kita yang buat bermadu itu macam jahat sangat.

“Kita kena sedar bila menumpang kasih dan ambil hak orang tanpa minta izin kita kena hormat dia. Jangan cakap banyak dan apa-apa jadi minta maaf, itu yang terbaik,” jelasnya kepada program tersebut.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! Arena Star

Sumber: Sumber