[VIDEO] Mek Kelate pandai buat kek Sarawak

KOTA BHARU 25 Mei – Bulan Ramadan membawa rezeki tambahan buat seorang remaja perempuan dari Kubang Kerian, di sini yang mahir membuat kek lapis Sarawak, sejak enam tahun lalu.

Gadis manis, Nurul Jannah Rusli Zahari, 19, mempelajari cara dan resepi asli kek yang sukar dibuat itu semasa berada di Tingkatan Satu daripada rakan baik ibunya yang berasal dari bumi Kenyalang.

Walaupun perniagaan kek lapis Sarawak itu hanya dijalankan pada bulan Ramadan dan melalui promosi dari mulut ke mulut, sambutan diterima menggalakkan apabila Nurul Jannah menerima tempahan hampir 1,000 biji kek untuk Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.

“Seminggu sebelum Ramadan saya sudah mula menerima tempahan dan sibuk membuat kek Sarawak dengan pelbagai perisa.

“Setakat ini saya sudah mendapat tempahan lebih 100 biji kek dan biasanya pada penghujung Ramadan tempahan meningkat berkali ganda.

“Kos bahan mentah semakin mahal tetapi saya masih mengekalkan harga lama kerana untungnya tetap ada, lagipun ibu berpesan supaya menjual sambil niat bersedekah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Nurul Jannah yang merupakan anak pertama daripada empat beradik mendapat bantuan ibu bapanya, Hasnurmy Mat Nor, 43 dan Rusli Zahari Abdullah, 45, yang menguruskan bahagian tempahan dan pembungkusan.

“Saya ambil tempoh dua tahun memahirkan diri dalam pembuatan kek lapis ini kerana ia rumit dan memerlukan kesabaran tinggi.

“Setiap kek memerlukan masa antara dua setengah jam hingga tiga jam bermula daripada proses mengadun sehinggalah siap,” katanya.

Nurul Jannah menjual kek lapis Sarawak perisa oreo, masam manis, ‘traffic light’, keju dan ‘evergreen’ pada harga antara RM15 hingga RM56 mengikut timbangan.

Gadis berkelulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) ini bakal melanjutkan pelajaran dalam jurusan Diploma Pengajian Perbankan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang pada Julai ini.

Untuk sebarang tempahan kek boleh menghubunginya di talian 0199541454. – UTUSAN ONLINE

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! Arena Star

Sumber: Sumber