“Saya Tak Mengantuk Tapi Ada Bunyi Letupan Sebelum Terbabas, Anak Kongsi Ibu & 3 Beradik Maut Di LPT – REMAJA

“Cepat sangat benda tu jadi sebab saya baru berbual dengan Ma. Ma tanya kita dah kat mana dan saya jawab dah kat Maran dan Ma sambung tidur semula. Kemudian secara tiba-tiba saya dengar bunyi letupan lantas kereta kami tersasar merempuh pengadang besi di kiri jalan. Semua berlaku sekelip mata, terlalu kejap,” kongsi Mohd Shahrul Ikhram, 20 yang terselamat dalam nahas jalan raya pagi semalam.

Menafikan dirinya mengantuk kerana mereka sudah berhenti tidur di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh dan sudah memandu setengah jam selepas berehat itu, dia yang memandu kenderaan mengakui masih lagi trauma apabila menyaksikan empat ahli keluarganya maut serentak dalam nahas ngeri yang berlaku di Kilometer 161.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), arah Timur di Maran, Pahang, kira-kira jam 8.30 semalam.

Terkorban dalam kejadian menyayat hati ini ibunya, Azian Abdullah, 50 serta tiga lagi adik beradiknya iaitu kakak sulungnya, Fatin Najwa Mazlan, 27, adiknya, Fatin Nur Adriana, 15 dan Mohamad Danish Najmi, 10. Sementara itu, dia dan seorang lagi adiknya, Fatin Nur Athirah, 19 tahun yang berada dalam kenderaan itu hanya mengalami kecederaan.

Gambar terakhir bersama. Empat sekeluarga ini maut selepas pulang dari membeli belah persiapan raya di Kuala Lumpur. Hanya Mohd Shahrul terselamat (kiri)

Beginilah keadaan kereta yang remuk. Kata Shahrul dia terdengar bunyi letupan sebelum kereta terus tersasar lalu merempuh penghadang besi

Besi penghadang jalan yang menembusi kereta mengakibatkan kesemua mangsa tersepit dan meninggal di tempat kejadian

Kongsi Mohd Shahrul, sebaik letupan berlaku, kereta terus tersasar melanggar penghadang besi jalan lalu tembus ke dalam dalam kereta membuatkan mereka semua tersepit.

“Buka saja mata, saya tengok Ma, kak long dan adik-adik tersepit, saya cuba bantu tapi tak terdaya. Saya sendiri gagal mengerakkan sebelah tangan ketika itu ekoran bahu tercedera. Memang sedih tengok Ma dan adik beradik maut depan mata,” katanya yang masih lagi trauma dengan kejadian itu.

Jelasnya lagi, kemalangan itu menimpa hanya kira-kira setengah jam selepas mereka meninggalkan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh untuk meneruskan perjalanan pulang ke Kemaman.

Kata anak keempat dari tujuh beradik ini, mereka enam beranak bertolak dari Kuala Lumpur sekitar jam 1 pagi dan singgah di R&R Temerloh untuk berehat dan tidur kira-kira jam 3 pagi dan turut bersahur di situ. Mereka kemudiannya menunaikan solat Subuh sebelum menyambung tidur di dalam kereta sehingga hampir ke jam 8 pagi sebelum kemalangan terjadi pada jam 8.30 pagi.

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Jengka sebelum jenazah empat beranak ini selamat dikebumikan dalam satu liang lahat sekitar jam 12.00 tengah malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Bandar Cheneh Baru, Kemaman.

Jenazah empat beranak ini disemadikan dalam satu liang lahat

Suasana pilu berlaku apabila ahli keluarga memberikan kucupan terakhir

Jenazah empat beranak ini selamat dikebumikan sekitar jam 12.00 tengahmalam

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan ini ketika seluruh ahli keluarga berkumpul. Lebih menambah pilu apabila dua anak yang cedera, Fatin dan Shahrul menatap dan mengucup dahi satu persatu jenazah ibu dan adik mereka yang meninggal dunia.

Kira-kira 500 orang ramai yang hadir ke tanah perkuburan itu bagi memberi penghormatan akhir kepada kesemua mangsa juga kelihatan tersentuh hati tatkala melihat satu persatu jenazah mangsa diturunkan ke liang lahad.

Suami dan bapa mangsa, Mazlan Mohd Rashid, 48, yang juga Pegawai Felcra kelihatan tabah ketika pengebumian itu dilakukan.Terdahulu, empat jenazah berkenaan itu tiba di Surau Al-Ridhuan, Peringkat 4, Bandar Cheneh Baru, kira-kira jam 10.15 malam dari Hospital Jengka, Pahang. Ketibaan jenazah disambut dan disembahyangkan kira-kira 1,000 orang jemaah.

Kasih sayang dari seorang suami buat seluruh ahli keluarganya yang terkorban. Mazlan kelihatan tabah menghadapi ujian ini malah redha

Rasa tak sedap hati – Bapa

Jumaat lalu, enam sekeluarga ini bertolak ke Kuala Lumpur bagi membeli barang persiapan menyambut hari raya. Malah mereka sempat singgah ke Genting Highland seketika sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur dan menumpang tidur di rumah kakak kedua.

Di rumah sebelum kejadian itu berlaku, suami dan juga bapa kepada anak-anak ini, Mazlan Mohd Rashid, 54 mengakui sudah berasa tidak sedap hati.

Mazlan berkata, secara tiba-tiba dia merasa ‘sesuatu’ akan berlaku namun tidak menduga akan diuji dengan ujian berat kehilangan isteri dan tiga anak serentak di saat sambutan Hari Raya Aidilfitri semakin hampir.

“Tapi ini dah suratan takdir, saya reda…sedih memang sedih. Pagi tadi (kelmarin) saya rasa sesuatu, saya telefon isteri dan dia kata dah bergerak balik ke rumah,” katanya.

Mazlan yang juga Pegawai Felcra memberitahu, rasa tidak sedap hatinya itu terjawab selepas Mohd Shahrul Ikhram menghubunginya dan memaklumkan mereka enam beranak terlibat kemalangan di Maran.

Inilah gambar terakhir dirakam bersama semasa di Genting Highland. Ibu dan kakak sulung maut manakala Fatin dan Shahrul terselamat

Gambar kenangan tiga beradik. Malam itu mereka bermalam di rumah kakak kedua (gambar tengah baju merah)

“Saya bergegas pergi ke LPT di Maran, namun saya hanya mampu tatap jasad isteri dan tiga anak yang sudah terbaring kaku,” katanya lagi.

Bagaimanapun Mazlan mengakui merasa lega dan berpuas hati kerana dapat menguruskan perjalanan akhir isteri dan tiga anaknya itu sehingga kesemuanya selamat disemadikan.

“Terima kasih kepada kawan-kawan dan semua yang menguruskan jenazah sehingga semuanya selamat dikebumikan” katanya yang tidak mengikut isteri dan anak-anaknya itu.

Ramadan ini sudah pasti tidak sama lagi, begitu juga Aidilfitri yang bakal disambut. Walau seberat mana ujian, namun seluruh ahli keluarga ini redha.

Sementara seorang lagi anak mangsa, Amirul Shafiq, 24 berkata, kesemua adik beradiknya nampak gembira hendak pergi shoping sebelum kejadian.

Kata anak ketiga ini, ketika kali terakhir berjumpa ibu dan adik beradiknya itu, ibunya menyuarakan hasrat untuk membeli persiapan Aidilfitri ke KL pada Jumaat lalu.

“Ma, kak long dan empat lagi adik saya bertolak ke KL pada jam 9 pagi Jumaat lalu dan mereka sempat singgah di Genting Highlands. Tapi saya terkejut lepas abah bagitahu saya pada jam 9 pagi tadi yang ma, kak long dan adik-adik ditimpa kemalangan,” katanya yang kelihatan masih trauma.

Alfatihah untuk seluruh ahli keluarga yang maut dalam nahas menyayat hati ini.

Kredit :- Raihan Sanusi, Sinar Harian Kemaman

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! Arena Star

Sumber: Sumber