Pelajar ketagih ketum bertambah

TANAH MERAH: Air rebusan daun ketum yang tidak boleh dikesan menerusi ujian air kencing, kini menjadi pilihan pelajar di negeri ini.

Pengarah Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri, Rahayu Ahmad, berkata sehingga Mei lalu, kira-kira 224 pelajar dikesan terbabit dalam kegiatan itu berbanding 292 kes sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, pelajar membuat pengakuan itu ketika menjalani ujian air kencing di sekolah terpilih secara rawak bagi menangani masalah dadah di kalangan mereka.

“Sehingga Mei lalu, 224 pelajar dikesan terbabit dalam penagihan air ketum berbanding 292 kes sepanjang tahun lalu.

“Ketika melakukan ujian saringan air kencing terhadap pelajar itu, hasilnya negatif tetapi mereka mengakui mengambil air rebusan daun ketum setiap hari.

“Hakikatnya, semakin ramai pelajar yang minum air ketum kerana ia tidak boleh dikesan menerusi ujian air kencing seperti penyalahgunaan dadah yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada jamuan Aidilfitri AADK Tanah Merah bersama masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di perkarangan pejabat berkenaan di sini, hari ini.

Rahayu berkata, air ketum juga boleh mendatangkan kemudaratan jika mengambil secara berlebihan dan disalah guna dalam tempoh singkat.

sumber