Ibu redah semak cari pucuk paku demi sara keluarga

TUMPAT 26 Mei – Demi meneruskan kelangsungan hidup, seorang suri rumah sanggup meredah kawasan semak-samun sambil ditemani dua anaknya yang masih kecil untuk mencari pucuk paku bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Nurul Hasmiza Ya’acob, 23, berkata, dia terpaksa berbuat demikian selepas suaminya Razali Husain, 42, tidak berupaya untuk bekerja akibat penyakit lemah jantung.

Menurutnya, setiap hari dia akan menunggang motosikal mengelilingi kampung untuk mencari pucuk paku sebelum menjualnya di pasar.

“Kalau bernasib baik pucuk paku itu terjual sehingga RM20 sehari dan kalau kurang dapatlah RM10 sahaja.

“Pendapatan ini sekurang-kurangnya dapat membantu suami yang hanya mampu melakukan kerja buruh ringan sahaja dengan pendapatan tidak menentu,” katanyaz.

Dia ditemui pemberita sempena Program Kita Kongsi anjuran Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) serta Hotel Grand River View (GRV) di sini, semalam.

Dalam kunjungan itu, Setiausaha Agung Kemudi, Rosmiza Kasim bersama dengan Pengarah Jualan dan Pemasaran Hotel GRV, Raja Rusmin Datuk Raja Mahmud menyampaikan sumbangan kepada keluarga berkenaan.

Nurul Hamiza memberitahu, suaminya menghidap penyakit jantung susulan terkena jangkitan kencing tikus yang dialami sejak tahun lalu sehingga tidak mampu melakukan kerja berat.

“Bukan niat tidak mahu melakukan kerja lain tetapi amat sukar keluar dan meninggalkan anak-anak yang masih kecil bersama suami yang sakit.

“Selain pernah mengalami demam kencing tikus, suami saya sudah kehilangan limpa akibat kemalangan jalan raya yang dialami lapan tahun lalu ketika kami sedang bertunang,” ujarnya.

Nurul Hamiza dan suami kini menyewa di Kampung Sungai Pinang bersama empat anak berusia antara tiga hingga tujuh tahun.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Nurul Hamiza di talian 0197664962. – UTUSAN ONLINE

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! Arena Star

Sumber: Sumber