Banduan bolos kena tangkap akhirnya

BANDUAN yang melarikan diri dari Penjara Pengkalan Chepa, Jumaat lalu berjaya ditangkap di Taman Kurnia Jaya, malam tadi.

Suspek Abdullah Mat Akib, 39, ditahan orang ramai berhampiran tangki air sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut pada 12.15 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek itu.

“Sebaik menerima maklumat, suspek ditangkap dengan bantuan orang ramai sebelum anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Dan sebaik tiba, kita mengesahkan suspek yang ditangkap adalah banduan yang melarikan diri pada Sabtu lalu.

“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Kota Bharu hari ini,” katanya.

Harian Metro Jumaat lalu melaporkan seorang banduan yang sedang menjalani hukuman kes rogol, melarikan diri dari penjara Pengkalan Chepa.

Suspek berasal dari Kuala Krai itu dipercayai melarikan diri dengan melompat pagar penjara itu kira-kira 7 malam.

Difahamkan banduan yang berasal dari Kampung Manek Urai Lama, Kuala Krai, sedang menjalani hukuman penjara 13 tahun dan 10 sebatan sejak 2016 bagi kesalahan merogol.

 

Sumber: Sumber